25 January 2009

SURAT TERBUKA DARIPADA PENASIHAT UNIT AMANAH

Ke hadapan Tuan Ismet Ulam Raja yang dihormati,



Merujuk kepada perbualan telefon kita tempohari, saya akui Tuan adalah 100 peratus benar mengatakan di mana ketika pasaran saham menaik, kesemua syarikat unit amanah akan mencanangkan bahawa produk mereka lah yang terbaik. Sebagai seorang pelabur yang prihatin, Tuan juga ingin tahu apa yang bakal terjadi sekiranya pasaran saham merudum. Berdasarkan sejarah pelaburan unit amanah, kita boleh gunakan contoh tahun 1993 (tahun terbaik), 1987 dan 1997. Semua data-data sudah saya kemukakan semasa perjumpaan kita dahulu.


Sila ambil perhatian bahawa pelaburan unit amanah tidak sama seperti pelaburandi Bursa Malaysia. Unit amanah ini adalah satu bentuk pelaburan yang berobjektifkan sederhana dan jangka panjang. Strategi pelaburannya pula adalahpelbagai kerana lain dana, lain pula strategi pelaburannya.


Suka saya memaklumkan kepada Tuan, bahawasanya kami sebagai penasihat unit amanah bukan orang yang bertanggungjawab di dalam pengurusan strategi pelaburan untuk setiap dana. Pengurus Dana (Fund Manager) yang dibayar gaji inilah yang akan melakukan segala bentuk strategi. Mereka ini bekerja sepenuh masa, bertaraf profesional dan mempunyai tauliah akademik serta berpengalaman luas dalam bidang pelaburan. Wang Tuan bersama pelabur-pelabur lain dikumpulkan sehingga menjadi jumlah yang besar dan dengan wang inilah mereka mampu mempelbagaikan strategi instrumen-instrumen pelaburan. Antara instrumen yang digunakan adalah seperti pasaran wang (money market), sekuriti dan bon kerajaan, ekuiti dan pasaran hartanah (property).


Apabila pasaran saham menaik atau menurun, pengurus-pengurus dana akan melakukan penyelidikan bagi merekabentuk strategi yang terbaik bagi memaksimakan kadar pulangan kepada para pelabur yang telah menyerahkan kepercayaan mereka terhadap pelaburan yang diuruskan oleh individu profesional ini. Akan tetapi, bukan itu sahaja caranya syarikat unit amanah menguruskan wang para pelabur.

Kepelbagaian



Unit Amanah amat sesuai kepada para pelabur yang tidak mempunyai masa, pengetahuan dan wang yang banyak untuk memilih dan mempelbagaikan pelaburan mereka. Daripada memandai-mandai untuk cuba menguruskan sendiri, para pelabur mengamanahkan duit mereka kepada pengurus pelaburan dengan mengorbankan sedikit kos iaitu kos pengurusan (sekitar 6.5%). Lagipun, wang ‘kutu’ ini pun tidak disimpan atas nama syarikat unit amanah tetapi diawasi dan dipantau oleh Pemegang Amanah (contoh: Amanah Raya Berhad). Tidak cukup dengan itu, Suruhanjaya Sekuriti (SC) pula bertindak menjadi ‘polis’ untuk memerhatikansekiranya berlaku sebarang penyelewengan. Ini semua dilakukan untuk melindungikepentingan para pelabur seperti Tuan juga. Saya rasa setakat ini Tuan sudahboleh membezakan antara unit amanah dengan saham.


Seterusnya, saya akan terangkan perbezaan antara penasihat unit amanah dengan ‘remisier’. Penasihat unit amanah seperti saya ini bukannya seorang remisier.Tugas saya adalah untuk menasihati para pelabur unit amanah tentang aspekperancangan strategi kewangan untuk mencapai matlamat pelaburan mereka khususnyasimpanan yang melebihi 5 tahun. Objektif kewangan sedemikian biasanya berkaitan dengan tabung pendidikan anak-anak dan persaraan. Sumber wang pula boleh diperolehi melalui wang tunai atau pun skim KWSP (Akaun 1). Kebetulan memang adaremisier yang juga seorang penasihat unit amanah. Namun ingin saya nyatakan bahawa saya tidak layak dan tidak akan membantu Tuan dalam urusniaga saham-saham di Bursa Malaysia.


Tuan juga ada bertanya tentang dana (bukan saham ye) apa yang boleh saya cadangkan. Ini berbalik semula kepada profil kewangan dan keperluan Tuan. Sebagai contoh, saya tidak boleh mencadangkan Dana Ekuiti kepada Tuansekiranya tahun depan Tuan akan pencen. Begitu juga kepada bakal pelabur yang berumur lewat 20-an, saya juga tidak akan mencadangkan Dana Bon di mana pulangannya agak rendah. Ini kerana memandangkan umur beliau masih muda, beliau berpeluang memperolehi pulangan yang tinggi dengan mengamalkan simpanan secara berkala untuk jangka masa yang lama melalui pelaburan yang berisiko lebih. Harap Tuan jangan mengikut saranan saya tanpa usul-periksa. Sila baca prospektus yang saya berikan untuk rujukan Tuan, terutamanya bab-bab berkaitan dengan ciri-ciridana secara terperinci. Sekiranya Tuan berpuashati dengan maklumat yang diperolehi, Tuan boleh pertimbangkan pengetahuan Tuan dengan cadangan yang telah saya kemukakan. Sekiranya masih ada keraguan, kita
boleh bincangkannya dengan lebih lanjut lagi.


Pelabur Bijak

Selagi kita mempunyai masa, kita mesti memaksa wang yang kita ada sekarang untuk bekerja dengan sekeras-kerasnya. Situasi ini sama teruknya dengan cara kita berhempas-pulas mencari rezeki untuk menampung diri sendiri dan keluarga. Dengan kadar inflasi dan kos perkhidmatan serta harga barangan pengguna yang melambung tinggi sekarang, wang kita tidak boleh dilonggokkan begitu sahaja dalam akaun simpanan biasa (cth: bank atau tabung haji) atau simpanan tetap. Begitu juga dengan simpanan (Akaun 1) di KWSP. Jangan hanya dibiarkan begitu sahaja sehingga pencen. Sekiranya ASB boleh memberikan pulangan purata tahunan 10 peratus atau KWSP sebanyak 5 peratus, laburkanlah sebanyak mungkin ke dalam unit amanah untuk memaksimakan lagi pelaburan tersebut. Hidup
ini memerlukan kepelbagaian. Lakukan yang terbaik kerana segala keputusan yang kita buat sekarang bakal mengubah gaya hidup kita pada masa akan datang.


Sebagai penutup, kita tinjau sedikit kata-kata nasihat tentang konsep kepelbagaian (diversification). Pepatah Inggeris ada menyebut “Don’t put your eggs in ONE basket”. Dalam Al-Quran pula ada dinyatakan dalam Surah Yusuf,ayat 67 yang bermaksud:


“ Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk (ke Bandar Mesir)melalui sebuah pintu sahaja tetapi masuklah melalui beberapa buah pintu yangberlainan…”





Yang benar,

Sadiq Segaraga@ Sadiq Sepakraga
Penasihat Unit Amanah Berlesen

0 SILA KRITIK: