27 January 2009

HIKAYAT AWANG SULONG

Tersebutlah hikayat si Awang Sulong mengambil pinjaman perumahan, satu “Hutang baik”. Pada mulanya terasa juga bajet lari, tetapi selepas beberapa tahun dah jadi biasa.

Kemudian Awang membeli kereta untuk pergi kerja sebab tak sanggup berdiri dalam bas dan LRT. Berkat usaha rajin Awang Sulong dinaikkan pangkat, jadi perlulah pembelian barangan peningkatan mutu hidup seperti ASTRO, penyaman udara, pemanas air dan barangan berjenama. Melalui rakan sepejabat Awang dapat tahu ada satu kad plastik macam ATM yang membolehkan semua barangan idamannya dinikmati sekarang tapi bayar kemudian. walaupun bangga dan gembira dengan hartanya Awang mulai merasa perubahan dalam hidupnya - wang simpanannya makin berkurangan, bila dapat gaji selalu sahaja habis, petis pos yang dulunya kosong kini ada banyak “surat rasmi” berbahasa indah meminta wang. Masa lapangnya pula terpaksa digunakan untuk mencari pendapatan tambahan, sehinggakan tabiat balik kampung di hujung minggu terpaksa dibatalkan.

Mungkin ramai di antara pembaca sebenarnya kenal benar dengan Awang Sulong di atas. Mungkin juga ramai akan mempertahankan Awang dengan mengatakan bahawa kehidupan sedemikian serasi di zaman moden ini dan sememangnya hutang tak dapat dielakkan. Secara tegas saya nyatakan keadaan seperti Awang tidak OK sama sekali. Apa yang OK ialah mempunyai hutang baik, cuma satu hutang buruk dan Mengurus bukan bermaksud membayar tepat pada masa atau menyusun penyata pembayaran (biling) dalam fail tetapi betul-betul mengurus.

Sekarang tibalah masanya untuk mengenali ”senjata-senjata” yang perlu digunakan pula. Setiap senjata di bawah boleh dilancarkan secara berasingan atau digabungkan bersama untuk menghasilkan kesan yang lebih hebat.


  • Mengurangkan Perbelanjaan
  • Membayar Pinjaman Kad Kredit
  • Konsolidasi Atau Pindahan Hutang.
  • Gunakan Wang Simpanan
  • Pinjaman Keluarga


Mengurangkan Perbelanjaan

Satu penyelesaian yang ketara memang sukar dilakukan disebabkan oleh tabiat manusia yang tamak. Kategori perbelanjaan yang sepatutnya disiasat ialah hiburan,perjalanan dan pelancongan, hadiah, kereta baru dan pengubahsuaian rumah. Semasa melakukan proses siasatan ini tanya soalan-soalan berikut:

  1. Adakah mungkin ”keperluan” anda sebenarnya “kehendak”?.
  2. Bolehkah perbelanjaan “Keperluan” anda dikurangkan lagi?.
  3. mungkin gaya hidup anda sekarang sebenarnya tidak sesuai dengan pendapatan anda?.

Membayar Pinjaman Kad Kredit

Melupuskan pinjaman kad kredit merupakan kaedah serampang dua mata. Anda bukan sahaja mengurangkan bebanan anda tetapi sebenarnya anda juga memperoleh pulangan pelaburan. Contohnya jika anda melupuskan hutang kad kredit yang memberikan faedah 1.5 peratus sebulan (18 peratus setahun), ini setara dengan melabur dalam satu instrumen kewangan yang memberikan dividen 18 peratus. Andai kata anda tidak dapat melupuskan hutang ini secara terus, gunakan cara beransur - gandakan bayaran bulanan asal supaya jumlah faedah (interest) dapat dikurangkan secepat mungkin.

Konsolidasi Atau Pindahan Hutang.

Langkah ini boleh digunakan seandainya ada hutang yang susah dilupuskan. Cara ini bertujuan untuk mengurangkan kos hutang anda. Contoh strategi pindahan - carikan kad kredit yang lebih murah (umpama tiada yuran tahunan langsung) dan gunakan kad kredit baru itu untuk membayar terus pinjaman kad kredit lama. Contoh strategi konsolidasi - “refinance” rumah untuk mendapat pinjaman bagi membayar semua hutang yang ada, kemudian serviskan pinjaman perumahan baru pada kadar faedah yang telah ditetapkan. Cara ini amat berkesan tetapi pastikan kos baru untuk mendapatkan pinjaman tersebut tidak menjejaskan belanjawan anda. Disebabkan terdapat banyak pilihan pinjaman perumahan sekarang anda digalakkan meminta nasihat kewangan untuk mengkaji perbandingan pengiraan bagi kaedah “refinance” yang terbaik.

Gunakan Wang Simpanan

Sekiranya wang simpanan anda mencukupi, anda boleh juga menggunakan sumber ini untuk melupuskan hutang yang berkos tinggi seperti kad kredit. Tetapi pastikan anda mempunyai sekurang-kurangnya dana kecemasan yang setara 6 bulan perbelanjaan anda sebelum mencuba strategi ini.

Pinjaman Keluarga

Kalau sudah terdesak anda boleh gunakan strategi ini tetapi dengan satu syarat demi kebaikan si peminjam. Contohnya kalau anda meminjam daripada keluarga anda untuk membayar hutang kad kredit atau along pada kadar 18 peratus setahun, bayarkan balik kepada mereka pada kadar faedah tertentu contohnya 7 peratus setahun. Kalau boleh untuk menyedapkan hati keluarga anda sediakan satu perjanjian bertulis mudah supaya semua pihak puas hati.

0 SILA KRITIK: