27 January 2009

MISKIN SELEPAS PENCEN

Miskin selepas pencen -- Dengan purata caruman RM114,000 pesara belanja RM475 sebulan

Utusan Malaysia Online, 19-10-2007

KUALA LUMPUR 18 Okt. – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai caruman terkumpul berjumlah RM224 bilion sehingga Disember 2006 namun secara purata simpanan seorang pencarumnya yang mencapai usia 55 tahun cuma RM114,000.

Dengan simpanan sebanyak itu, seseorang pencarum KWSP yang bersara hanya mampu membelanjakan RM475 setiap bulan bagi membolehkannya menampung hidup sehingga usia 75 tahun.

Perbelanjaan RM475 sebulan akan meletakkan pesara berkenaan dalam kategori golongan berpendapatan di bawah paras kemiskinan.

Pendapatan orang yang dikategorikan miskin di Semenanjung kini ditetapkan RM530 sebulan, Sarawak (RM585) dan Sabah (RM685).

Pengurus Kanan Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar memberitahu, pada masa ini purata caruman terkumpul kira-kira 47,500 pencarum KWSP yang akan genap umur 55 tahun pada tahun ini ialah RM114,000.

“Jumlah simpanan ini tidak mencukupi berdasarkan anggaran mereka akan menggunakan wang itu selama 20 tahun berikutan jangka hayat yang semakin panjang serta kos sara hidup yang terus meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia dalam satu temu bual di pejabatnya di sini.

KWSP mempunyai kira-kira 11 juta pencarum dengan 47,500 orang akan mencapai umur bersara pada tahun ini.

Menurut Nik Affendi, bagi memastikan pencarum KWSP dapat bersara dengan selesa, setiap ahli dana pencen itu perlu mengubah sikap mereka yang berharap sepenuhnya kepada caruman KWSP untuk menampung hidup selepas bersara.

“Caruman KWSP setiap bulan hanya melibatkan 11 peratus daripada gaji mereka, jadi masih terdapat 89 peratus pendapatan pencarum yang boleh digunakan untuk membuat pelaburan yang akan menghasilkan pulangan tetap pada usia tua,” ujarnya.

Nik Affendi menasihatkan para pencarum supaya berhemah ketika membuat pengeluaran awal sebelum persaraan membabitkan pelbagai skim yang telah disediakan oleh KWSP termasuk pengeluaran rumah, pendidikan dan kesihatan.

“Jika mereka mempunyai sumber lain, simpanan KWSP harus dijadikan sebagai pilihan terakhir,” tegasnya.

Ditanya mengenai langkah-langkah yang telah diambil bagi memastikan simpanan persaraan setiap ahli bertambah, katanya, struktur akaun ahli KWSP telah disusun semula daripada tiga akaun kepada dua mulai 2 Januari lalu.

Sebelum ini, sebanyak 60 peratus daripada caruman bulanan ahli dikreditkan ke dalam Akaun I manakala 30 peratus ke dalam Akaun II dan 10 peratus ke dalam Akaun III.

Penstrukturan itu menyebabkan Akaun I – yang khusus untuk tujuan persaraan dan hanya boleh dikeluarkan setelah pencarum mencapai usia 55 tahun – ditingkatkan sebanyak 10 peratus kepada 70 peratus.

Selaras dengan perubahan itu, ujar Nik Affendi, pengeluaran kesihatan yang sebelum ini hanya boleh dibuat daripada Akaun III kini boleh dikeluarkan daripada Akaun II.

Wang dalam Akaun II yang melibatkan 30 peratus caruman ahli juga boleh dikeluarkan untuk pembiayaan perumahan, kesihatan, pendidikan dan apabila cukup umur 50 tahun

0 SILA KRITIK: